Tuesday, September 22, 2009

SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDILFITRI

Alhamdulillah...selepas sebulan kita berada dalam madrasah ramadhan yang penuh barakah kini syawal pula menjelang. Semoga segala amalan di bulan ramadhan yang lalu dapat meningkatkan keimanan dan meraikan kemenangan serta kegembiraan di aidilfitri yang mulia. Seseungguhnya aidilfitri ialah bulan kemenangan kepada umat Islam khususnya kepada mereka yang telah menjalani ibadah puasa dengan penuh penghayatan. Kegembiraan yang dirasakan adalah kurnia dari Allah yang tidak dapat digambarkan tetapi dapat dirasakan kesyahduhannya di jiwa. Itulah nikmat dan kegembiraan aidilfitri yang utama, disamping berpakaian serba baru dan dapat bertemu sanak saudara, sahabat handai serta rakan taulan. Justeru marilah kita meraikan aidilfitri ini dengan penuh keinsafan dan janganlah dicemari dengan perbuatan-perbuatan yang bertentangan dengan syarak. Kepada semua muslim dan muslimat kami mengucapkan selamat hari raya aidilfitri maaf zahir & batin.

Wednesday, September 16, 2009

PEMBEBASAN TAHANAN ISA...BUKTI KOMITMENT KERAJAAN.

Pembebasan tahanan ISA baru-baru ini mendapat pelbagai reaksi dari pelbagai pihak. Bagi pihak keluarga sudah tentulah amat bersyukur apatah lagi akan dapat bersama-sama menyambut hari lebaran yang akan disambut tidak berapa lama lagi. Tetapi apa yang pelik ialah reaksi curiga dan sangka buruk oleh pengerusi GMI atas pembebasan tersebut. Kenyataan GMI dilihat senada dengan pembangkang yang tidak pernah melihat suatu pun kebaikan yang dibuat oleh kerajaan. Tindakan serta kenyataan mereka tidak pernah membina malah sentiasa bersifat provokasi. Mereka hanya berfikir tentang mencari keburukan tidak kebaikan. Spekulasi dan sangka buruk adalah cara hidup mereka yang menyamai sifat orang-orang yahudi dan munafik. Kita percaya bahawa ISA tidak digunakan dengan sewenang-wenangnya malah apa yang diutamakan adalah keselamatan dan ketenteraman rakyat secara keseluruhannya. Allah itu maha mengetahui, mereka yang ditahan perlu mengakui bahawa tindakan mereka suatu ketika dulu walau tidak dapat dibuktikan boleh mengancam kemaslahatan umum . Itulah harga yang perlu mereka bayar atas tindakan mereka dan perlu menerimanya dengan penuh reda.

RAMADHAN SEMAKIN MENINGGALKAN KITA..

Diam tak diam dalam kesibukan kita menguruskan kerja dan kehidupan seharian, madrasah ramadhan pada tahun ini akan berakhir beberapa hari sahaja lagi..Rasanya seperti baru semalam mengerjakan ibadat puasa ramadhan..masih banyak lagi amalan-amalan sunat yang belum ditunaikan. Namun inilah hakikat 'masa' yang perlu kita sedar bahawa ia sesekali tidak akan menunggu kita. Justeru kita masih ada kesempatan bagi beberapa akhir ramadhan ini untuk meningkatkan amalan serta memberikan tumpuan yang lebih terhadap amal ibadat kita. Jangan kita disibukkan dengan persiapan hari raya semata-mata sehingga kita gagal untuk mengambil manfaat sepuluh akhir ramadahan yang mulia ini. Marilah kita sama-sama berdoa agar kita dipertemukan dengan Lailatul Qadar iaitu malam yang lebih baik dari seribu bulan serta tergolong dikalangan mereka yang diampunkan segala dosanya serta dijauhi dari seksaan neraka jahanam. Amin Ya Rabal Alamin.

Sunday, September 13, 2009

SIAPA CALON ADUN BAGAN PINANG???

Isu siapa yang akan menjadi calon BN di DUN Bagan Pinang sedang hangat diperkatakan, bukan sahaja oleh media arus perdana malah di pihak pembangkang juga 'amat berminat' untuk menyentuh tentang siapakah calon bertuah tersebut. Tan Sri Isa Samad disebutkan sebagai satu-satunya calon pilihan yang dikemukakan UMNO bahagian Telok Kemang. Tahniah! kepada UMNO bahagian Telok Kemang atas kesepakatan yang tidak berbelah bagi dalam menentukan calon kepemimpinan mereka. Melalui kesepakatan ini sudah pasti diperingkat jentera pilihanraya di DUN Bagan Pinang nanti tidak ada isu 'sabotaj' dikalangan ahli UMNO sendiri disebabkan calon mereka tidak terpilih. Keadan ini pasti memberi kelebihan kepada BN untuk memastikan kemenangan yang tidak berbelah bagi kepada calon yang telah dipilih. Persoalan tentang Tan Sri Isa yang pernah dikaitkan dengan isu politik wang mungkin menjadi senjata yang penting untuk digunakan oleh pihak pembangkang dalam kempen mereka nanti. Namun kita percaya bahawa para pengundi di DUN Bagan Serai lebih mengenali Tan Sri Isa yang mempunyai banyak pengalaman serta sumbangan dalam arena politik tanah air khususnya di Bagan Pinang. Kita percaya sebagai orang lama dan sebagai ketua UMNO bahagian Telok Kemang, Tan Sri Isa akan meletakkan kepentingan parti lebih daripada kepentingan diri sendiri seperti yang telah ditunjukkan selama ini. Berilah ruang kepada Tan Sri Isa sendiri untuk menentukan siapakah calon lain yang difikirkan layak untuk mewakili masyarakat DUN Bagan Pinang setelah keputusan sebulat suara memilih beliau. Kita percaya Tan Sri Isa telah lama mempunyai senarai kepimpinan yang telah dilatih dan boleh diharapkan untuk menjadi pemimpin pada bila-bila masa jika diperlukan oleh parti. Oleh itu kita harapkan agar sahabat-sahabat terutamanya jentera pemuda diseluruh negara terus memberi sokongan yang tidak berbelah bagi kepada UMNO bahagian Telok Kemang atas siapa sahaja pemimpin yang akan dipilih untuk menjadi calon dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang nanti. Jangan sesekali membiarkan pembangkang mengkucar-kacirkan perpaduan kita. Allahuakbar!!!

HIDUP UMNO!!!