Wednesday, December 31, 2008

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 1430H & 2009M



UCAPAN ALU-ALUAN KETUA PERGERAKAN PEMUDA UMNO BAHAGIAN PAGOH SEMPENA TAHUN BARU 1430H & 2009M

Assalamualaikum..Saudara-saudara yang dihormati..
Saya bersama-sama Naib Ketua dan Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian mengucapkan syukur kepada Allah SWT kerana dengan izinnya kita dapat bersua dilaman blog Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pagoh sempena dengan Awal Muharam, 1430 Hijrah dan Tahun Baru Masihi 2009.

Saya juga merakamkan ucapan tahniah kepada Ketua Pergerakan Pemuda Cawangan, Naib Ketua dan Ahli Jawatankuasa Pemuda Cawangan yang telah terpilih semasa pemilihan yang lalu. Ucapan terima kasih juga kepada para perwakilan yang menghadiri Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda 2008 yang lalu dan memilih barisan kepimpinan yang mantap dan mewakili zon masing-masing. Proses pemilihan yang berjalan dengan lancar dan membuktikan kematangan perwakilan pemuda bijak membuat keputusan.

Selaku Ketua, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ketua UMNO Cawangan, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Cawangan dan ahli-ahli sekelian yang telah memberikan kepercayaan kepada saya dan rakan-rakan bagi menerajui kepimpinan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pagoh.

Saudara-saudara sekalian,

Alhamdulilah, proses pemilihan diperingkat cawangan dan bahagian telah selesai diadakan. Kini kita menanti pemilihan diperingkat pusat. Tempoh kempen yang lama ini memberi ruang untuk kita mengenalpasti calon-calon yang layak dipilih. Kita memahami, tempoh kempen yang lama ini juga menjejaskan proses pemulihan kepercayaan rakyat kepada Barisan Nasional. Sehubungan dengan itu, walaupun kesebukan pemimpin kita untuk mendapatkan tempat dipelbagai jawatan diperingkat atasan, pemimpin diakar umbi seharusnya boleh memainkan peranan untuk menguatkan lagi jentera peringkat BN diperingkat cawangan dan bahagian.

Pemilihan ini dipelbagai peringkat dalam UMNO merupakan proses demokrasi yang telah terjalin dalam perlembagaan parti kita. Apapun sama ada kita berjaya mewujudkan barisan kepimpinan yang kuat atau tidak ia bergantung sejauh manakah ahli-ahli UMNO menggunakan kebijasanaan saudara-saudara untuk memilih pemimpin dalam pemilihan kali ini. Harapan kita perwakilan perlu memilih pemimpin yang benar-benar berani untuk menyuarakan kebenaran, sentiasa mendengar suara akar umbi dan mempunyai semangat pejuangan UMNO yang tinggi. Ini bermakna, ahli-ahli UMNO harus menolak mana-mana calon atau pemimpin yang bertanding dengan menggunakan ‘tiket ekspres’ bagi menduduki jawatan tertentu dalam parti sama ada di Peringkat Majlis Tertinggi, Pemuda, Bahagian dan cawangan. Ini kerana jika pemimpin dipilih menggunakan laluan express ia bermakna pemimpin itu tidaklah sekuat mana dan kemungkinan terlalu longgar perjuangannya terhadap akar umbi.

Pemimpin yang bakal dipilih biarlah pemimpin yang bermula dari bawah dan sudah benar-benar sebati dengan hati nurani rakyat diperingkat bawah. Apa yang penting ahli-ahli UMNO yang berhasrat memilih pemimpin yang kuat perlu memahami sentimen rakyat.

Ini bukannya pemilihan yang semata-mata untuk mencari barisan kepimpinan untuk mengendalikan UMNO tetapi lebih penting daripada itu untuk memastikan UMNO sebagai tunjang pemerintahan Negara tidak tergugat. Pergerakan pemuda UMNO Bahagian sangat menggalakkan pemuda untuk terlibat dalam politik tetapi politik dalam ertikata sebenar bukan untuk mengejar jawatan. Bila berebut jawatan sudah tentu lah ada agendanya, takkan lah kita hendak rebut jawatan yang kita tahu ada tanggungjawab berat yang harus dipikul oleh orang yang menyandangnya. Jadi kita hendak tarik orang muda masuk Pemuda yang faham bahawa politik sebenar adalah politik untuk menjaga kepentingan rakyat.

Sehubungan dengan itu, dikesempatan ini juga saya merayu kepada para perwakilan UMNO, jayakan perhimpunan agung ini dengan penuh tertib dan mematuhi segala ketetapan perhimpunan. Jika ada diantara kita telah diberi habuan untuk memilih pemimpin tertentu, fikirkanlah semula. Adakah diri kita atau jatidiri kita ini boleh dinilai dengan wang ringgit atau sesuatu habuan. Saya yakin para perwakilan sekelian telah matang dan mampu memikirkan nasib bangsa kita yang hari ini kian tercabar.


Saudara-saudara sekelian,

Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pagoh telah menggariskan gerak kerja bagi memastikan kelancaran pentadbiran Pemuda diperingkat akar umbi. Setiap Ahli Jawatankuasa akan mengetuai 5 atau 6 buah cawangan dan aktiviti akan dilaksanakan mengikut keperluan zon masing-masing. Program yang disusun ini diharap memenuhi kehendak ahli-ahli pemuda dan belia dikawasan masing-masing. Program yang dirancang tidak terhad kepada aktiviti sukan sahaja, malahan program ekonomi, pendidikan, keagamaan dan sosial juga perlu dirancang dan dilaksanakan. Kita juga telah mewujudkan program ‘Pemuda Perihatin.’ Antara program yang telah dilaksanakan adalah membantu ahli pemuda yang bermasalah, membiayai yuran sekolah untuk pelajar sekolah yang miskin, bantuan untuk Fakir miskin dan membantu menghubungkan permasalahan kemudahan masyarakat dengan jabatan-jabatan terlibat.

Kami juga mengharapkan, pelayar-pelayar laman blog sudi berkongsi maklumat dan berkomunikasi dengan blog kami ini. Kami mewujudkan laman blog ini bagi berkomunikasi, berkongsi pendapat dan mendapatkan maklumat dengan saudara sekalian. Pengendali laman blog Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pagoh diuruskan oleh Saudara Mohd Zaid Abd Rahman. Kami penuh yakin beliau akan berurusan dengan saudara dengan penuh didikasi dan mampu berkongsi pendapat dan maklumat yang mempunyai akses terus kepada saya sebagai ketua.

Harapan kami sepanjang tahun 2009, pelbagai program dapat diatur dan memenuhi citarasa ahli-ahli pergerakan pemuda. Akhir sekali, saya bersama-sama Naib Ketua dan Ahli Jawatankuasa Pemuda Bahagian mendoakan pergerakan pemuda UMNO cawangan saudara akan berjalan dengan lancar dan jayanya demi kepentingan Agama , bangsa dan Negara. Dengan kata-kata yang demikian saya sudahi dengan Wabilah hitaufik Walhidayah Walsalam mualaikum Warahmatuallah Hi wabarakahtu.

Saya dengan hormatnya,

HJ ISMAIL BIN HJ MOHAMED
Ketua Pergerakan Pemuda
UMNO Bahagian Pagoh

No comments: