Tuesday, January 4, 2011

SELAMAT TAHUN BARU 2011

Asalamualaikum..Alhamdulillah bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan rahmat Nya kita diberikan kesempatan dan masa untuk meneruskan perjuangan sebagai hamba Nya di muka bumi ini. Sesungguhnya kemenangan pasukan Harimau Malaya menewaskan pasukan Garuda telah mencetuskan fenomena yang begitu hebat di kalangan semua rakyat Malaysia. Bagi saya kemenangan tersebut adalah merupakan suntikan motivasi kepada kita semua untuk berjuang bagi mencapai kecemerlangan. Hasil usaha yang berterusan, disiplin diri yang teguh, semangat berpasukan yang tinggi dan yang lebih penting ialah maruah serta kepentingan negara diutamakan adalah merupakan ramuan yang mustajab yang perlu dicontohi dan realisasikan dalam perjuangan kita. Pelbagai program telah dijalankan oleh kita di sepanjang tahun 2010 yang merangkumi pelbagai bidang aktiviti antaranya keagamaan, sukan, kursus bina semangat, kursus kemahiran, kursus berkaitan ekonomi dan perniagaan sama ada diadakan oleh kepimpinan pemuda bahagian, cawangan mahupun dengan kerjasama pihak-pihak laian seperti kolej komuniti, giat mara dan lain-lain agensi yang tidak dapat disebutkan disini. Ribuan terima kasih kepada seluruh ahli sayap pemuda umno bahagian pagoh terutama kepada ketua-ketua pemuda cawangan yang telah banyak memberikan kerjasama dalam menjayakan pelbagai program sama ada di peringkat bahagian ataupun cawangan dan begitu juga dengan agensi-agensi yang terlibat dalam setiap program yang diadakan. Meskipun pelbagai aktiviti yang telah dilaksanakan, kepimpinan pemuda umno bahagian mengakui masih banyak ruang kosong yang masih tidak dapat diisi sepanjang tahun 2010 yang lalu dan untuk itu kita akan cuba mengisi ruang-ruang tersebut pada tahun 2011 ini. Insyallah dengan kerjasama semua peringkat ahli pemuda, kita akan dapat menjayakan sebarang program yang dirancang. Bagi tahun 2011 ini kita akan menumpukan kepada merangka strategi bagaimana untuk menghadapi kebarangkalian sekiranya PRU 13 diadakan, justeru persediaan yang rapi serta rangka kerja yang efisien perlu dilaksanakan bagi memastikan kemenangan dengan majoriti yang besar akan kita perolehi sesuai dengan status MP kita sebagai Timbalan Perdana Menteri sekarang ini. Semoga dengan sokongan yang besar kelak akan dapat memudahkan YAB Tan Sri untuk membawa pembangunan seperti yang telah dirancang iaitu pagoh sebagai Hub Pendidikan. Corak pelaksanaan program bagi tahun 2011 juga diharapkan lebih banyak datangnya daripada peringkat pemuda cawangan sendiri. Melalui kursus, latihan serta pendedahan yang telah di berikan sebelum ini, kita percaya bahawa kepimpinan cawangan dapat melaksanakannya justeru dengan itu lebih ramai bakat kepimpinan yang dapat dilatih dan disuburkan. Program-program yang dilaksanakan juga tidak perlu yang 'grand' tapi yang paling penting berkesan dan dapat memberi faedah yang besar bukan sahaja kepada ahli tetapi masyarakat umumnya. Ini juga sejajar dengan konsep jimat cermat serta berhemah dalam perbelanjaan yang dititik beratkan oleh kerajaan ketika ini. Kami akan cuba memberi sokongan sedaya mungkin dari sudut menasihat jika perlu, sokongan moral dan lain-lain lagi mengikut kemampuan yang ada. Tumpuan juga akan diberikan kepada penyalurun maklumat yang penting yang diperlukan oleh setiap ahli melalui pelbagai media. Untuk tujuan tersebut kita berharap agar kepimpinan di peringkat cawangan dapat berperanan untuk membuat tinjauan keperluan setiap ahli berkenaan maklumat apakah yang mereka perlukan dan seterusnya disampaikan kepada kepimpinan peringkat bahagian untuk diambil tindakan. Insyallah, semoga dengan niat yang ikhlas untuk membantu sesama kita dan memastikan kesinambungan kepimpinan melayu Islam di bumi Malaysia terus kukuh maka marilah kita semua berikrar dan bersumpah taat setia untuk mempertahankan serta mendaulatkan parti keramat kita ini...
HIDUP UMNO! HIDUP UMNO! HIDUP UMNO!

Sekian.
KETUA PEMUDA
UMNO BHGN PAGOH

No comments: